Ahad, 13 April 2014

Fertigasi berasal dari gabungan dua nama perkataan bahasa Inggeris iaitu fertilization (pembajaan) dan irrigation (pengairan). Apabila menyebut fertigasi, ia adalah satu teknologi tanaman yang melibatkan 2 sistem iaitu sistem pembajaan dan sistem pengairan dimana 2 sistem ini dijalankan secara serentak. Sistem ini dapat meyalurkan nutrien lengkap terus kepada akar tanpa pembaziran sumber dan pencemaran alam sekitar. 



                                          Gambar 1 : Sistem Fertigasi Tertutup (Gambar hiasan)


Sistem pembajaan dan pengairan membantu usahawan untuk memastikan setiap anak pokok diberi makanan yang cukup dan seimbang supaya tanaman berbuah secara sekata. Disamping itu, tanaman menggunakan kaedah fertigasi dapat menjimatkan kawasan tanah kerana tanaman disemai menggunakan cocopeat. Oleh itu, banyak pokok dapat dihasilkan menggunakan kaedah ini berbanding kadah konvensional kerana faktor ruang dapat dijimatkan. Apabila tidak menggunakan tanah, penyakit akar seperti fusarium, rhizoctonia dan penyakit layu bakteria dapat dielakkan. Teknologi ini dapat meningkatkan pengeluaran hasil buah cili antara 3 hingga 5 kali ganda berbanding cara penanaman konvensional. 


Walaubagaimanapun, modal permulaan yang tinggi untuk menanam secara fertigasi telah membantutkan hasrat ramai usahawan tani untuk mengaplikasi teknologi ini. Kos tertinggi adalah pembinaan struktur rumah pelindung hujan (SPH). SPH berfungsi untuk mengelakkan larutan baja menjadi cair apabila bercampur dengan air hujan. Apabila larutan baja cair, nutrisi yang diberi pada tanaman menjadi kurang. Jadi, pokok akan kurang sihat dan penyakit mudah menyerang. Disamping itu, penyakit kulat seperti hawar pucuk dan antraknos juga menyerang tanaman selepas hujan. Namun begitu, dengan kaedah pengurusan tanaman terkini, penanaman cili tanpa menggunakan SPH (tanaman terbuka) dapat dijalankan.

  


                                        Gambar 2 : Sistem Fertigasi Terbuka (Gambar hiasan)



InsyaAllah, entri akan datang akan mengupas dengan lebih terperinci mengenai fertigasi terbuka yang kami sedang jalankan. 


.


Jumaat, 11 April 2014

Kami terdiri daripada 8 orang siswazah muda yang menceburi tanaman fertigasi di kawasan Skudai, Johor. Ahli syarikat terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan di peringkat Sarjana (Master by Research) dan Doktor Falsafah (PhD) dan berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan pertanian. Dikalangan ahli kami, ada yang berpengalaman bekerja sebagai jurutera, pegawai penyelidik, dan tutor. 

 Berdasarkan pengalaman ahli dalam pertanian konvensional, kami sebulat suara memilih menceburi bidang pertanian fertigasi kerana ia merupakan teknologi terkini disamping mudah diselenggara dan dapat menghasilkan gred buah yang sekata.

Khamis, 27 Februari 2014


Kewujudan projek rintis agro-ladang fertigasi yang melibatkan tanaman Cili Besar dan Rock Melon ini merupakan satu usaha yang dilakukan di peringkat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam memupuk daya keusahawanan tani dikalangan mahasiswa selain memacu perjalanan Dasar Agro Makanan Negara menjelang tahun 2020.

Ini juga adalah selaras dengan wawasan kerajaan dan juga menyahut seruan Yang Amat Berhormat Dato Seri Najib Tun Abdul Razak di mana pihak kerajaan mengalu-alukan penglibatan ushawan siswa tani siswazah dalam memajukan bidang pertanian.

Tapak projek ini akan dijalankan di atas tanah seluas 2 ekar di kawasan Dusun Buah, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru di mana pihak perjanjian penggunaan tanah telah diluluskan bagi tempoh 2 tahun pertama.

Sebagai permulaan, pihak syarikat akan mengusahakan tanaman cili besar sebanyak 3,000 pokok untuk keluasan 1 ekar di bawah sistem fertigasi terbuka. Manakala bagi tanaman Rock Melon pula sebanyak 3,000 pokok akan diusahakan di bawah sistem fertigasi tertutup (struktur Pelindung Hujan/Tanaman)